KUALA LUMPUR – Tuduhan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa rakyat Sabah dan Sarawak adalah golongan malas mengecewakan rata-rata pemimpin dan rakyat Sabah, kata Pengerusi Biro Pelancongan Umno Semporna, Datuk Abd Hajan Gurimbang.

Katanya, penghinaan itu yang hanya dilihat sebagai alasan Pengerusi PPBM itu di atas ketinggalan pembangunan Sabah berbanding negeri di semenanjung ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

“Itu dia punya persepsi, dia tak tahu apa berlaku di Sabah sebab waktu dia jadi Perdana Menteri, dia jarang melawat ke Sabah.

“Sebab negeri Sabah pada zaman pemerintahannya tidak banyak kemudahan khususnya dalam bidang pendidikan. Universiti tidak ada, UiTM pun tidak berkembang, jadi rakyat Sabah terpaksa menuntut pendidikan di semenanjung.” katanya.

Hajan juga berkata keadaan itu hanya berubah apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pentadbiran dan Sabah terus membangun dengan lebih mapan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya lagi pembangunan di Sabah juga bertambah pesat di bawah kepemimpinan Musa sebagai Ketua Menteri yang banyak membawa pembaharuan dalam pelbagai aspek.