KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman serta Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos sekiranya terbukti benar mereka ke luar negara tanpa melalui pintu keluar yang sah.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata tindakan akan dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang melanggar Akta Imigresen tanpa pilih kasih atau pilih bulu.
“Tentunya (Imigresen) akan mengambil tindakan kepada sesiapa juga yang terbukti melakukan kesalahan melanggar Akta Imigresen termasuk jika (mereka) terbukti ke luar negara tanpa melalui pintu keluar yang sah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mendedahkan Musa dipercayai menjadikan negara Brunei Darussalam sebagai transit sebelum keluar meninggalkan negara.
Mohamad Fuzi berkata ini berikutan pihak Jabatan Imigresen tidak memiliki rekod bahawa bekas Ketua Menteri Sabah itu meninggalkan negara ini. -Bernama