KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan pernah berkata bahawa Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) harus dipersalahkan atas masalah pengurusan dana itu, seperti yang dilaporkan dalam temubual dengan Reuters kelmarin.
Jurucakap kepada bekas Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan, Najib akan membuat penjelasan lanjut berhubung perkara tersebut pada masa yang sesuai.
“Dalam satu temubual dengan Reuters baru-baru ini yang turut dipetik oleh beberapa media tempatan melaporkan bahawa Najib telah menyalahkan Lembaga Pengarah 1MDB untuk kegagalan itu, dengan menyatakan menjadi tanggungjawab mereka untuk memberitahunya jika berlaku sesuatu yang tidak betul.
“Najib ingin menjelaskan bahawa semasa temubual itu beliau hanya menyatakan bahawa mana-mana lembaga pengarah mempunyai tanggungjawab fidusiari untuk bertindak demi kepentingan terbaik dan Lembaga Pengarah 1MDB juga mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menasihatinya mengenai masalah dana pelaburan itu,” jelasnya.
Beliau menambah, Najib tidak pernah pada bila-bila masa dalam temubual itu berkata bahawa Lembaga Pengarah 1MDB harus dipersalahkan atas apa yang berlaku. – UTUSAN ONLINE