PETALING JAYA – Lelaki berusia 41 tahun yang dikecam kerana bernikah dengan budak perempuan 11 tahun, Che Abdul Karim tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Beliau yang merupakan peraih getah dan berasal dari Gua Musang itu berkata mereka bernikah di Thailand atas dasar suka sama suka.

“Ya, memang benar saya sudah berkahwin dengan isteri ketiga. Kami suka sama suka. Kami sudah bercinta sejak empat tahun lalu.

“Saya kenal isteri ketiga semasa dia bersama ibunya bekerja di kedai isteri pertama tapi itu kisah tiga tahun lalu,” katanya.

Che Abdul Karim mempertahankan tindakannya itu dan beranggapan perbuatannya itu tidak salah kerana dia bernikah dengan isteri ketiganya itu dengan kebenaran kedua ibu bapanya.

“Saya bernikah selepas dapat kebenaran ibu bapa isteri (ketiga) saya. Lagipun mereka setuju dan hadir bersama semasa proses akad nikah dilakukan di depan kadi.

“Isteri pertama tahu mengenai perkara ini dan dia setuju. Tetapi isteri kedua tidak benarkan, sebab itu saya kahwin senyap-senyap,” katanya yang juga menjelaskan sudah merujuk kepada orang yang lebih arif di negara jiran sebelum melaksanakan pernikahan itu.

“Perkara ini tidak salah kerana saya sudah merujuk mereka yang lebih arif di Selatan Thailand.

Mengulas mengenai kisah percintaan mereka, Che Abdul Karim berkata dia mengenali isteri ketiganya itu, semasa kanak-kanak itu menemani ibunya bekerja di kedai makan milik isteri pertamanya.

Kanak-kanak perempuan yang kini menjadi isteri ketiganya itu juga merupakan rakan kepada anaknya.

Menurutnya lagi dia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah dan mengecam keluarganya secara keterlaluan, serta terdapat perkara yang bercanggah sehingga mengaibkan maruah keluarganya.

Menurutnya lagi walaupun terdapat desakan supaya melepaskan isteri ketiga yang baharu dinikahi dua minggu lalu, namun dia tidak akan sesekali melakukan perkara itu biarpun mendapat tentangan isteri pertama dan keduanya.