PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendoakan Datuk Seri Najib Razak dan keluarga diberi keadilan sebaik-baiknya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas perdana menteri itu petang tadi.
“Saya antara orang yg banyak kritik beliau. Tetapi saya berdoa beliau dilayan baik sebagai seorang bekas perdana menteri, dijaga maruah dan air muka. Itulah perjuangan reformasi,” katanya di Twitter.
Pasukan petugas khas 1MDB mengesahkan Najib ditangkap di kediamanya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 2.35 petang tadi dalam siasatan ke atas bekas syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Najib akan bermalam di lokap ibu pejabat SPRM Putrajaya dan akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur esok pagi.
Pasukan petugas khas itu terdiri daripada bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Sri Mohd Shukri Abdull; dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas I, Datuk Abdul Hamid Bador. -FMT