KUALA LUMPUR – Sebuah NGO melabel Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebagai ‘badut sarkas’ kerana memberi cadangan untuk menjual kapal persiaran mewah, The Equanimity.

NGO berkenaan, Pergerakan Malaysiaku Tanahairku yang diketuai oleh Raggie Jessy mendakwa Guan Eng sengaja mengadakan cadangan itu bagi mengalih perhatian media dan rakyat.

Katanya, agak kelakar kenyataan Menteri Kewangan itu kononnya mahu melelong kapal mewah kerana Equanimity didakwa dibeli menggunakan dana tersebut.

“Guan Eng sebenarnya seperti badut sarkas kononnya mahu lelong kapal mewah itu.

“Dia sepatutnya menyiasat secara sah nilai sebenar kapal itu dan membuktikan sama ada ia dibeli menggunakan hasil dana 1MDB atau macam mana.

“Guan Eng tahu kapal itu tidak boleh dilelong tapi dia bercakap demikian untuk mengkaburi mata dari isu lain kepada isu kapal ini.

“Kenapa dia mengeluarkan kenyataan seperti itu? bukan kah ia memalukan dirinya sendiri?

Dakwanya lagi, dengan memberi kenyataan dan cadangan demikian, Guan Eng dikatakan cuba menutup isu sebenar melibatkan dirinya dengan Kerajaan China.

“Dia (Guan Eng) tidak boleh pergi ke China sebab kerajaan kuasa besar Asia itu melarang pemimpin DAP itu daripada memasuki negara itu,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pagi ini.

Pada Ahad lalu, Kementerian Kewangan merancang untuk menjual kapal layar mewah ‘Equanimity’ yang dilaporkan akan tiba di negara ini pada petang ini.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata kementerian berhasrat menjual kapal layar tersebut pada harga tertinggi agar Malaysia beroleh kembali kira-kira AS$250 juta (RM1 bilion) – harga yang dilaporkan bagi kapal berkenaan.