KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini atas tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM42 juta ke dalam akaun miliknya.
Pengakuan tersebut dibuat di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, transaksi itu didakwa dilakukan melalui Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) di antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti salah itu atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi.
Najib diwakili peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.