KUALA LUMPUR – Sebuah pertandingan bagi mengetengahkan bakat kanak-kanak dalam seni kebudayaan warisan negara peringkat antarabangsa akan dianjurkan melalui program ‘Asia’s Kids Star’ pada 5 Oktober ini.

Seramai 120 kanak-kanak negara ASEAN bakal mempertaruhkan bakat masing-masing dalam program bertaraf antarabangsa Asia’s Kids Star pada 5 Oktober depan.

Menurut penganjur program itu, NQ Cultural Commercial Sdn Bhd, program berkenaan akan mengetengahkan bakat kanak-kanak seramai 120 orang dalam pelbagai cabang seni serta budaya warisan negara melalui pertandingan tarian, nyanyian, lukisan, pertunjukan fesyen, permainan muzik tradisional serta seni kraftangan.

kid2
Majlis Pra Pelancaran Asia’s Kids Star’ telah disempurnakan Adinda Sultan Johor, Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Muna Najiah Almarhum Sultan Iskandar Al Haj

“Pertandingan peringkat saringan diadakan bermula 25 Ogos ini bagi mencungkil serta memilih bakat tempatan dalam kalangan kanak-kanak yang akan mewakili Malaysia pada peringkat akhir Asia’s Kids Star.

“Ia terbuka kepada semua kanak-kanak berumur 3-16 tahun tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama,” kata Hassan Saad, Penasihat Program yang ditemui selepas majlis prapelancaran ‘Asia’s Kids Star’.

Menariknya, program itu diilhamkan dalam usaha melestarikan kebudayaan, kesenian dan mensejahterakan adat resam dalam kalangan kanak-kanak masa kini.

Katanya lagi, program ini diilhamkan bagi meraikan ulang tahun ke 45 hubungan diplomatik antara negara Malaysia dan China, khususnya dalam usaha melestarikan kebudayaan, kesenian serta adat resam di kalangan kanak-kanak generasi kini.

Rombongan peserta luar akan diperkenalkan dengan adat budaya seni negara ini menerusi program lawatan ke Pusat Kraftangan Negara, Balai Seni Lukis Negara dan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).

Majlis Pra Pelancaran Asia’s Kids Star’ itu disempurnakan adinda Sultan Johor, Paduka Puteri Tunku Muna Najiah Sultan Iskandar di Petaling Jaya, pada Rabu.