KENYATAAN AKHBAR OLEH ZAFAR AHMAD BIN ABDUL GHANI, PRESIDEN MYANMAR ETHNIC ROHINGYA HUMAN RIGHTS ORGANIZATION, MALAYSIA (MERHROM).

Dipetik dari facebook https://www.facebook.com/zafar.ahmad.92317/posts/3537034113033577

 

Saya, Zafar Ahmad bin Abdul Ghani, Presiden Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organization Malaysia (MERHROM) dengan ini ingin menafikan segala tuduhan yang dilemparkan ke atas saya di media sosial.

Berikut adalah antara tuduhan palsu yang telah dilemparkan ke atas saya:i.mengatakan orang Melayu bodoh

ii.menuntut hak sama rata dengan rakyat Malaysia

iii.menuntut hak kerakyatan penuh untuk pelarian Rohingya

iv.melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

v. mempertikaikan tindakan penguatkuasa Malaysia menolak bot daripada mendarat

Akibat daripada tuduhan palsu tersebut saya telah menerima pelbagai kecaman dan ugutan termasuk ugutan bunuh melalui telefon, whatsapp dan facebook saya. Kecaman dan ugutan yang saya terima rata-rata dari rakyat Malaysia. Usaha MERHROM untuk membantu pelarian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga telah terhenti akibat tuduhan palsu ini berikutan isu keselamatan.

Saya juga ingin menafikan telah mengeluarkan kata-kata seperti “HOI YOU MALAY BODOH, THIS IS OUR RIGHT, WE DEMAND FULL CITIZENSHIP HERE!! WE HAVE RIGHT HERE!! seperti yang dimuatnaik di media sosial. Posting ini telah menjadi tular dan menyebabkan pelbagai kecaman dan ugutan terhadap saya, keluarga saya, ahli jawatankuasa MERHROM dan pelarian Rohingya secara amnya.

Saya juga tidak pernah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak PKP dikuatkuasakan. Saya tidak pernah membuat facebook live di dalam kereta dalam tempoh PKP seperti yang dimuatnaik di media sosial. Facebook live tersebut dibuat pada bulan Januari 2020.

Akibat tuduhan-tuduhan palsu tersebut saya menerima banyak panggilan telefon dan mesej menerusi whatsapp yang berterusan memaki, mengecam dan mengugut saya. Akibat daripada tuduhan-tuduhan palsu tersebut facebook saya telah menerima puluhan ribu kecaman yang mana rata rata menghalau pelarian Rohingya dari Malaysia beserta pelbagai kecaman dan ugutan. Saya terpaksa “deactivate” akaun facebook saya buat sementara waktu bagi mengelakkan kecaman dan ugutan yang berterusan.

Saya berasa amat sedih dengan kejadian ini disaat kita akan menyambut bulan Ramadhan al Mubarak. Saya berharap dengan penafian terbuka ini, segala salah faham ini dapat diselesaikan dengan baik dan dengan kadar segera. Saya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia sekiranya saya ada tersalah cakap. Sekali lagi saya menafikan semua tuduhan yang dilemparkan terhadap saya.

Saya sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Malaysia dan rakyat Malaysia di atas segala sokongan dan bantuan yang telah diberikan kepada kami. Saya memohon maaf di atas segala ketelanjuran kata oleh segelintir pelarian Rohingya yang mendapat perlindungan sementara di negara ini. Saya sentiasa menasihat pelarian Rohingya yang berada di Malaysia agar sentiasa mematuhi undang-undang Malaysia, menghormati antara satu sama lain dan memahami budaya masyarakat Malaysia. MERHROM sentiasa memberi kerjasama kepada Kerajaan Malaysia dalam hal yang berkaitan dengan pelarian Rohingya.

Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia kerana menyuarakan penindasan terhadap Rohingya diperingkat antarabangsa dalam usaha menamatkan penindasan terhadap Rohingya di negara asal. Sokongan daripada pelbagai pihak amat kami perlukan bagi mendesak kerajaan Myanmar menghentikan Genosid dan mengembalikan kerakyatan kepada etnik Rohingya bagi membolehkan kami pulang ke negara asal.

Saya amat bersyukur kerana dalam kita di uji dengan Covid 19, kita diberi kesempatan untuk menyambut bulan Ramadhan al Mubarak. Saya amat berharap dengan penafian dan permohonan maaf dari saya dan seluruh pelarian Rohingya di Malaysia kita dapat menunaikan ibadah puasa dengan lebih tenang. Semoga dengan kehadiran bulan penuh rahmat ini kami dapat meneruskan usaha memberi bantuan kepada pelarian yang memerlukan.