KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 yang bermula hari ini, membenarkan ketua keluarga membawa seorang lagi ahli keluarga bersama keluar membeli barangan keperluan harian.
Ia susulan kelonggaran peraturan yang diumum kerajaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perkara ini dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang ditandatangani oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Selain itu, turut dinyatakan adalah mana-mana individu yang melakukan perjalanan untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan atau kesihatan juga boleh ditemani seorang lagi.
Sebelum ini, individu tidak dibenarkan membawa orang lain ketika membeli barang keperluan.
Peraturan itu juga menyatakan bahawa mereka yang ingin membeli barang keperluan atau mendapatkan rawatan perubatan hanya boleh melakukannya dalam jarak 10 kilometer dari kediaman mereka.
