KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa pihak berkuasa segera menghentikan tangkapan dan kembali kepada janji untuk mengesan dan merawat orang yang dijangkiti tanpa mengambil kira status mereka.
SUHAKAM dan satu kenyataannya berkata, perkara itu penting untuk mengembalikan kepercayaan kepada pihak berkuasa bahawa langkah yang diperkenalkan itu bertujuan menangani kepentingan kesihatan awam dan bukannya memerangkap mereka yang mempunyai status mencurigakan di negara ini.
Menurut kenyataan itu, sebelum ini pada Mac lalu, Menteri Pertahanan memberi jaminan bahawa tiada tangkapan berdasarkan status imigresen akan dibuat kepada mereka yang tampil untuk menjalani saringan atau mendapatkan rawatan COVID-19, disusuli dengan pengumuman Kementerian Kesihatan bahawa rawatan COVID-19 adalah percuma kepada sesiapa sahaja termasuk warga asing yang menunjukkan gejala.
“Langkah itu dianggap sebagai tepat dan dipuji banyak pihak, namun golongan itu tetap tidak tampil membuat pemeriksaan berikutan bimbang kemungkinan berhadapan dengan tindak balas negatif.
“Baru-baru ini, dilaporkan ada serbuan dan tangkapan beberapa ratus warga asing tidak berdokumen dari beberapa kawasan di Kuala Lumpur yang menjadi sebahagian daripada usaha besar-besaran bagi mengawal dan membendung COVID-19 daripada merebak ke kawasan lain.
“Jadi keadaan ini memperkuatkan lagi tanggapan negatif golongan sasaran itu serta meningkatkan ketakutan mereka terhadap tangkapan dan penahanan. Akibatnya mereka sukar menjalani ujian dan rawatan dalam keadaan apa sekali pun,” menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, berita mengenai tangkapan secara besar-besaran yang berlaku dalam tempoh 72 jam itu jelas adalah langkah yang mundur dan tidak produktif dalam usaha negara untuk menangani isu wabak dari aspek kesihatan awam.
“Justeru, penyelesaian jangka panjang untuk menangani isu pendatang asing tidak berdokumen perlu merangkumi mekanisme penguatkuasaan dan pemantauan yang konsisten dan efektif dalam pengambilan pekerja asing iaitu melalui pembekal perkhidmatan yang boleh dipercayai.
“Dasar yang berasaskan hak perlu dirangka bagi mengatur dan mengelakkan situasi yang boleh mengakibatkan sesiapa sahaja menjadi ‘pendatang tidak berdokumen’, yang kemudiannya hidup dalam ketakutan yang berterusan menghadapi ketidakadilan dalam pekerjaan atau penguatkuasaan dasar dan retorik imigresen,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan mengamanahkan kerajaan untuk memastikan tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya termasuk keperluan untuk meneruskan kehidupan seperti makanan, pekerjaan dan kesihatan.
“SUHAKAM meminta semua pihak yang terbabit untuk lebih terbuka bekerjasama dengan kaedah baru dengan sentiasa mengingati bahawa tujuan utamanya adalah untuk mengatasi musuh yang tidak boleh dilihat dan tidak membezakan seseorang dengan yang lain,” katanya. -BeritaHarian