PUTRAJAYA: Anak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurul Hidayah dan suami, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff tiba di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini bagi menghadapi pertuduhan kes melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Difahamkan, mereka tiba di kompleks mahkamah pada jam 8.20 pagi ketika lebih 30 pengamal media sedia berada di lokasi, termasuk yang menunggu seawal jam 7 pagi lagi.

Bagaimanapun, pasangan berkenaan berjaya mengelak wakil media yang menunggu di pintu hadapan mahkamah selepas dipercayai menggunakan laluan lain untuk masuk ke mahkamah.

Hanya lima pengamal media dibenarkan masuk ke mahkamah bagi mendengar pertuduhan selaras prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan sosial.

Ahad lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan Nurul Hidayah, 41, dan Saiful Nizam akan dituduh hari ini kerana melanggar PKP.

“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman dan kedua-duanya telah diambil keterangan pada 24 April lalu.

“Siasatan mendapati Datuk Nurul Hidayah telah memuat naik gambar di Instagram dengan beberapa kapsyen pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad,” kata Huzir seperti dilaporkan media pada 2 Mei lalu. -BeritaHarian