KUALA LUMPUR – Semalam, laman media sosial heboh memperkatakan mengenai Bantuan Prihatin Nasional (BPN) fasa kedua yang diumumkan kerajaan pada Jumaat.
Ini kerana ramai pemohon mendakwa gagal dalam permohonan mereka untuk mendapatkan BPN atas alasan mereka atau pasangan mereka mempunyai rekod pendaftaran syarikat atau perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan juga maklumat tidak tidak lengkap.
Hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan berita gembira bahawa Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga 31 Mei ini.

Dalam perutusan khas Perdana Menteri sebentar tadi, Muhyiddin berkata selain menghantar emel, para pemohon yang tidak diluluskan sebelum ini boleh hadir sendiri ke kaunter LHDN untuk membuat rayuan bermula hari Isnin, 11 MEI 2020.
“Bagi negeri-negeri yang bercuti esok, bolehlah pergi ke kaunter LHDN pada hari Selasa, 12 Mei 2020.
“Saya tak berjanji semua rayuan boleh diluluskan. Tetapi mana-mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah insyaAllah boleh diluluskan.” katanya.
Beliau berkata lanjutan tempoh rayuan itu mengambil kira rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima bayaran ini
Antara sebab permohonan tersebut tidak diluluskan adalah kerana maklumat yang diisi tidak lengkap.
“Ada juga yang permohonannya ditolak kerana dalam rekod menunjukkan pendapatan melebihi syarat kelayakan. Tetapi mereka sebenarnya telah hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan.
“Ada juga antara yang memohon adalah pelajar yang telah menerima bantuan BPN bagi kategori pelajar jadi permohonan mereka untuk mendapatkan bayaran BPN bagi ketegori bujang ditolak,” katanya. -KL Broadcast