PETALING JAYA – Cubaan seorang lelaki warga Bangladesh meloloskan diri dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pasar Jalan Othman dengan melalui longkang di Jalan 4/37 di sini hari ini berjaya dipatahkan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tindakan suspek berusia 31 tahun itu berjaya dikesan kira-kira jam 6.05 pagi.

“Ada cubaan untuk meloloskan diri oleh seorang warga Bangladesh, kita dapat tangkap dan kita telah buat dokumentasi dan kita letak dia di salah sebuah lokap kita namun diasingkan daripada tahanan-tahanan lain.

“Dia telah jalankan saringan dan sedang menunggu keputusan, tapi semasa menunggu keputusan tu dia lari,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988, Seksyen 15 APPPB 1988 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.