Anwar Ibrahim hari ini membidas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung keputusan memberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNNA) kepada Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak yang berdepan tuduhan pengubahan wang haram.
“Ini di mana SPRM tidak betul-betul agresif untuk menangani masalah ini (rasuah),” katanya.
Ketika Riza membuat representasi untuk menyelesaikan kesnya, bekas peguam PKR, Latheefa Koya merupakan ketua pesuruhjaya SPRM.
“Yang kita nak persoalkan, apakah munasabah kita selesaikan kes seperti ini dengan rundingan dan membayar sedikit?” katanya dalam sesi siaran langsung di Facebook hari ini.
Ulasannya menyusuli reaksi bekas peguam negara Tommy Thomas yang marah dengan keputusan membenarkan Riza mengembalikan wang yang didakwa daripada 1MDB.
Riza dituduh dengan 5 tuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta yang dibayar kepada syarikat penerbitan Red Granite Pictures di Hollywood antara 2011 dan 2012.
Dalam penyelesaian yang diumumkan Mahkamah Sesyen pada 14 Mei, Riza akan menyerahkan hak ke atas 3 hartanah yang dirampas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), dan melucutkan haknya ke atas wang yang dirampas daripadanya.
Riza juga akan membayar kompaun RM500,000 mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla).
SPRM dan peguam negara sekarang, Idrus Harun berkata penyelesaian itu mengikut prosedur dan dibuat selepas Thomas bersetuju secara prinsip dengan langkah tersebut.
FMT hari ini melaporkan mengenai dokumen yang menunjukkan Thomas dimaklumkan dan dikemas kini tentang permintaan representasi Riza, yang pertama kali dibuat dalam surat oleh peguamnya pada November tahun lalu.
Anwar hari ini mempersoalkan jumlah wang yang perlu dikembalikan oleh Riza dalam penyelesaian itu.
“Kalau kita umpamanya, esok, curi 10 motor, runding, bayar balik 1 motor,” katanya. -FMT