KUALA LUMPUR – “Pelita raya tetap dipasang biarpun Aidilfitri tahun ini kita semua terpaksa berkorban untuk tidak balik kampung kerana wabak Covid-19,” kata Pengerusi Pangsapuri Harmoni kuarters Jabatan Kerja Raya, Abdul Wahab Ismail.

Aidilfitri yang bakal menjelang tidak menghalang keluarga yang tinggal di kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memeriahkan sambutan perayaan terbesar masyarakat muslim itu, walapun tidak dapat pulang beraya bersama keluarga di kampung masing-masing.

Menurut Abdul Wahab, aktiviti memasang pelita itu dimulakan sejak 13 Mei lalu atau pada malam 20 Ramadhan lagi dengan bercadang untuk menyalakan pelita berkenaan setiap malam sehingga selepas Aidilfitri.

raya2
Pelita minyak tanah dinyalakan oleh penghuni kuarters kakitangan Jabatan Kerja Raya di padang halaman kuarters itu, bagi memeriahkan suasana menyambut Aldilfitri yang bakal dirayakan beberapa hari lagi di Sungai Besi, Kuala Lumpur

raya3
Pelita minyak tanah dinyalakan oleh beberapa penghuni kuarters kakitangan Jabatan Kerja Raya di padang halaman kuarters itu, bagi memeriahkan suasana menyambut Aldilfitri yang bakal dirayakan beberapa hari lagi di Sungai Besi, Kuala Lumpur, 20 Mei 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]
Penghuni di kuarters yang terletak di Sungai Besi Kuala Lumpur itu yang merupakan staff Jabatan Kerja Raya  mengambil inisiatif memasang 200 pelita minyak tanah dan membentuk ayat “RAYA KL JE..” sebagai tanda patuh kepada arahan kerajaan tidak pulang ke kampung halaman atau merentas negeri bagi menghalang penularan wabak itu.

Halaman di padang permainan kaurters yang mempunyai 60 buah rumah di kompleks pangsapuri dihuni lebih 250 orang yang rata-rata pekerja di jabatan itu diterangi dengan cahaya dari pelita yang dipasang bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri kerana kesemua penghuni tidak pulang beraya.

Gotong-royong yang diadakan sedikit sebanyak dapat mengubat rindu mereka pada kampung halaman yang tidak dapat dikunjungi kerana larangan dikenakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Tujuan kami melakukan aktiviti memasang lampu pelita membentuk ayat “RAYA KL JE..” adalah untuk memeriahkan suasana menyambut Syawal, serta sebagai peringatan kepada semua untuk terus mematuhi peraturan yang  ditetapkan kerajaan yang tidak membenarkan pulang ke kampung dengan merentas negeri dengan satu tujuan, iaitu mengekang pandemik COVID-19 dari terus merebak,

“Sambutan Aidilfitri tahun ini pasti berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini berikutan penularan wabak COVID-19, namun bagi kami sambutan harus diteruskan walaupun dengan keadaan sederhana,”  katanya.

Aktiviti memasang pelita itu dibuat setiap malam selepas selesai menunaikan solat tarawikh di rumah masing-masing, dengan menjaga penjarakkan sosial dan mengikut SOP oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. -KL Broadcast