KAJANG – Bekas banduan seharusnya diberi ‘tempat’ dalam masyarakat untuk mereka kembali memulakan kehidupan baharu, seterusnya bersama menyumbang pada pembangunan negara.

Masyarakat diseru menerima kehadiran golongan terbabit, terutama dalam membantu mereka mendapatkan pekerjaan bagi meneruskan kehidupan.

Justeru itu, dengan adanya program i-Kembali atau lebih dikenali sebagai penempatan semula bekas banduan ke dalam sektor pekerjaan yang diperkenalkan Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) memberi keutamaan kepada warganegara tempatan.

Dilihat sebagai satu usaha membantu buka ruang dan peluang kedua, program ini mendapat sokongan dari Jabatan Penjara Malaysia.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Pemasyarakatan), Dato’ Haji Abdul Aziz bin Abdul Razak, usaha program ini dilihat satu perkara yang baik dan secara tidak langsung membantu para bekas banduan membina kehidupan lebih baik dan sejahtera.

“Usaha ini sangat bagus bukan sahaja memberi peluang pekerjaan tetapi ianya juga dapat membantu negara mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam enam sektor yang terlibat”

“Di sebalik sisi hitam golongan ini, mereka sebenarnya kuat bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun stigma segelintir majikan dan masyarakat yang menebal menyebabkan mereka sukar diterima bekerja, serta dapat bantu pengurangan kos di penjara”, katanya dalam satu sidang media pada Jumaat. -KLBroadcast