Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi di sini untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya bagi membantu jentera UMNO ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.

Najib, 68, membuat pindaan itu selepas diamanahkan untuk memastikan UMNO bertindak secara teratur ekoran Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan tulang belakang.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian menangguhkan pendengaran permohonan itu pada Selasa depan.

Semasa prosiding, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, pihaknya memfailkan permohonan untuk meminda notis usul berhubung pelepasan pasport berkenaan pada Khamis.

Notis usul terpinda yang difailkan pada Khamis, Najib memohon untuk meminda tarikh itu daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 25 Oktober hingga 6 Disember depan.

Ia bagi melawat anak sulungnya, Nooryana Najwa yang kini menetap di Singapura dan akan melahirkan anak tidak lama lagi.