
Putrajaya – Laporan penuh kemalangan pesawat udara tragedi ‘Double Six’ yang berlaku pada 6 Jun 1976 akan didedahkan oleh kerajaan setelah hampir 50 tahun menjadi dokumen rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerajaan hari ini telah memutuskan laporan akhir siasatan kemalangan itu akan diturun taraf atau dinyahklasifikasi, iaitu semua maklumat akan diperkenalkan dan dihebahkan melalui kenyataan rasmi kerajaan dan Kementerian Pengangkutan.
Laporan tersebut dijangka akan di keluarkan dalam minggu depan.
Double Six merupakan nahas pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Fuad Stephens, empat menteri Sabah dan enam yang lain.
Pesawat malang tersebut dikendalikan oleh Sabah Air terhempas dalam perjalanan dari Labuan di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
