KUALA LUMPUR – Sambutan Krismas tahun ini membawa keceriaan kepada 150 kanak-kanak kurang bernasib baik apabila mereka menerima sumbangan perayaan dan duit raya yang dianjurkan Yayasan Kebajikan Budimas (Budimas) pada Jumaat di Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail.

Ketua Pegawai Eksekutif Budimas, Anne Rajasaikaran berkata Yayasan Budimas sentiasa meraikan empat perayaan utama setiap tahun untuk kanak-kanak dari rumah kebajikan.

“Kami sentiasa berusaha untuk mencapai misi kami untuk menyediakan peluang sama rata kepada kanak-kanak kurang bernasib baik, kami juga memastikan kanak-kanak ini dapat merasai perayaan seperti yang lain.

“Tujuan kita adalah untuk mengeratkan lagi silaturrahim bersama rumah-rumah kebajikan (dan penghuni) yang kita jemput hari ini, iaitu enam rumah, iaitu 150 kanak-kanak yang datang”, katanya dalam ucapan.

Menurut Anne, kanak-kanak kurang bernasib baik itu dibawa bersantai dan bergembira dalam sambutan itu, serta mereka turut dihiburkan dengan aktiviti permainan disediakan. Katanya lagi saban tahun Yayasan Budimas sentiasa menambah baik dan memperluas perkhidmatan serta hubungan baik bersama komuniti dan golongan tidak bernasib baik.

Tetamu istimewa dan kanak-kanak yang hadir merupakan dari pelbagai rumah kebajikan iaitu Persatuan Kanak-Kanak Ini Disayangi Selangor (K.I.D.S), Pertubuhan Kasih Sayang Kanak-Kanak Padmasambhav Klang, Persatuan Kebajikan Pusat Jagaan Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Pusat Kebajikan Kanak-Kanak Budimas Orion, dan Kampung Orang Asli Bukit Kepong.

Program itu menyaksikan penyertaan daripada entiti korporat iaitu Impiana KLCC Hotel dan Imperium International College. -KL Broadcast