KUALA LUMPUR – Pinjam RM10,000 namun kena bayar hingga RM100,000 dan nama disenaraihitam. Itu taktik terbaru sindiket ‘ceti haram’ yang berleluasa sekitar Lembah Klang. Simdiket itu menggunakan taktik memalsukan tandatangan mangsa dan memasukkannya ke dalam surat akuan pesuruhjaya sumpah tanpa kebenaran.
Presiden Kebangsaan Nambikkai Malaysia, Datuk Dr Kalai Vanar menggesa menyiasat sindiket ‘ceti haram’ itu yang didakwa menggunakan taktik terbaru menipu mangsa.
Katanya, beberapa mangsa penipuan datang meminta bantuannya kerana buntu selepas meminjam sejumlah wang daripada pemiutang.
“Mangsa pinjam duit lebih kurang RM10,000 sebelum Covid-19 melanda, kemudian baru-baru ini dapat surat daripada mahkamah menyuruh defendan (peminjam) bayar RM120,610.
“Amaun itu disuruh bayar kepada plaintif sebagai bayaran balik hutang pinjaman persahabatan dan caj faedah sebanyak lima peratus setahun ke atas amaun penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh.
“Kos tindakan ini sebanyak RM1,900, sangat tak masuk akal,” katanya dalam sidang media di salah sebuah restoran, di sini pada Selasa.
Menurut Kalai, pihaknya percaya wujud satu konspirasi antara peguam yang mengelola kes itu dengan plaintif (pemiutang) kerana mengatakan di hadapan hakim kononnya defendan sudah menerima surat tetapi gagal hadir ke mahkamah.
’Ceti haram’ tersebut (pemiutang) gunakan tandatangan peminjam pada kertas kosong ini dan bila mangsa tak dapat bayar tunggakan, dikeluarkan notis saman ke atasnya tapi memang tidak tandatangan apa-apa surat akuan sumpah,” ulas Kalai lagi.
Kalai menasihatkan agar mangsa lain diminta tampil segera bagi membantu mendedahkan kegiatan tersebut. -KL Broadcast