Nasib ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang direman bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme terbabit akan diketahui esok, sama ada didakwa atau dibebaskan dengan jaminan polis.

Peguam bela bapa kanak-kanak tersebut, Fahmi Abd Moin, mengatakan reman terhadap suami isteri itu tidak akan disambung lagi selepas direman selama 13 hari berakhir esok.

“Esok adalah hari terakhir (ibu bapa Zayn) direman, hari ke-13. Esok adalah keputusan, saya percaya kertas siasatan sudah sampai ke pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebelum itu Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin yang telah direman sejak 1 Jun lalu bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autistik dilihat meninggalkan Kompleks Mahkamah di sini, sebentar tadi.

Wanita berusia 29 tahun itu diawasi ketat oleh polis di lobi mahkamah sebelum kemudian dibawa masuk ke dalam kenderaan agensi penguatkuasaan pada jam 12.50 tengah hari.

Diketahui, ibu kepada kanak-kanak tersebut telah tiba pada jam 10.30 pagi sebelum kemudian dibawa masuk ke dalam mahkamah, manakala beberapa individu yang dipercayai sebagai ahli keluarga kanak-kanak itu juga dilihat masuk ke dalam lobi mahkamah pada jam 10.55 pagi.