
Petaling Jaya- Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang dibunuh di Damansara Damai pada 6 Disember lalu, disahkan sedang menjalani rawatan psikologi.
Menurut laporan Berita Harian, peguam Mahmud Jumaat, yang mewakili ibu kanak-kanak itu, menyatakan anak guamnya dan suaminya menjalani rawatan psikologi akibat tekanan perasaan yang dialami selepas tragedi menimpa anak sulung mereka enam bulan lalu.
“Saya percaya depresi ini sudah berlaku sebelum mereka ditahan reman. Mana-mana keluarga yang kehilangan orang tersayang tentu akan mengalami depresi. Saya yakin dari awal kes lagi, mereka sudah mendapatkan rawatan, terutama ibu bapa kepada Zayn Rayyan. Apatah lagi mereka mempunyai seorang lagi anak autisme, Mateen,” katanya.
Peguam yang mewakili bapa Zayn Rayyan, Fahmi Abd Moin, turut hadir dalam sidang media tersebut.
Terdahulu, ibu bapa Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu pada Disember tahun lalu. Zaim Ikhwan dan Ismanira membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Mahmud berkata anak guamnya gembira sebaik prosiding berakhir. “Alhamdulillah, mereka gembira dan puas hati dengan siasatan PDRM. Harapan mereka, sama seperti orang ramai, adalah untuk mendapatkan keadilan bagi Zayn Rayyan,” katanya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 setiap seorang untuk pasangan suami isteri tersebut sebelum dibebaskan. Sebutan semula kes dan penyerahan dokumen dijadualkan pada 26 Julai ini.