Kuala Lumpur – “Nyawa tak boleh diganti dengan duit, jadi saya tak mahu kalah dengan duit.
“Saya benar-benar harapkan ihsan orang ramai untuk membantu untuk melihat S. Harsheetaa Sai sihat seperti kanak-kanak normal yang lain.
Itu rayuan hiba R. Selva Ganapathy, 42, mengenangkan nasib anak perempuannya yang berusia lapan tahun yang dilahirkan dengan penyakit jantung kongenital merayu sumbangan orang ramai bagi membiayai pembedahan anaknya di Amerika Syarikat (AS).
S. Harsheetaa Sai yang juga murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Saraswathy di sini, berjuang melawan penyakit itu sejak lahir dan memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani prosedur di Hospital Kanak-kanak Boston di Massachusetts.

Menurut Selva , doktor di hospital tersebut menganggarkan bahawa kos untuk prosedur pembedahan dan penjagaan selepas pembedahan berjumlah sekitar US$350,000 (lebih kurang RM1.5 juta). Selva turut menambah bahawa pihak hospital telah mengesahkan bahawa pembedahan boleh dilakukan berdasarkan laporan perubatan anaknya, walaupun kos akhir masih belum ditentukan.
“Selepas meneliti laporan perubatannya, pihak hospital mengesahkan pembedahan boleh dilakukan, walaupun kos akhir masih belum ditentukan,” katanya.
Selva berkata Harsheetaa sebelum ini telah menjalani dua pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), namun beliau kini berikhtiar untuk menjalani prosedur di Boston.
“Paras oksigennya menurun ke tahap yang sangat berbahaya. Tanpa rawatan segera boleh merisikokan organ penting,” kata Selva yang juga seorang guru di sekolah anaknya.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB (7001233409) atau dengan menghubungi beliau di talian 012-2522689 untuk maklumat lanjut.