KUALA LUMPUR- Tanda tanya mengenai kedudukan Datuk Ewon Benedick dalam Kabinet akhirnya terlerai apabila beliau mengumumkan hasrat untuk berundur daripada jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) tersebut menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi Ewon Benedick Official Media malam ini.

Menurut Ewon, beliau akan menyerahkan surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memaklumkan keputusan melepaskan jawatan dalam Kabinet Persekutuan.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri atas peluang berkhidmat dalam Kabinet, yang menjadi wadah untuk saya memperjuangkan hak serta prinsip berkaitan Sabah,” katanya.

Ewon turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan sepanjang beliau berada dalam pentadbiran kerajaan.

Jelasnya, pandangan dan pendirian Pejabat Peguam Negara (AGC) yang dirujuk dalam penghakiman bertulis itu dilihat mengenepikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia, termasuk syarat-syarat yang menjadi asas kepada persetujuan Sabah untuk menyertai Malaysia seperti termaktub dalam dokumen perlembagaan utama negara.

“Saya tetap berpegang pada pendirian bahawa AGC tidak sepatutnya memfailkan rayuan, sebaliknya harus memulakan rundingan bersama Kerajaan Sabah bagi melaksanakan tuntutan hak 40 peratus hasil negeri,” katanya.

Dengan kenyataan itu, Ewon menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan kepentingan dan hak Sabah dalam kerangka Persekutuan, walaupun selepas melepaskan jawatan dalam Kabinet Persekutuan. -KL Broadcast

youtube.com/watch?v=OJ4x0f6AN4Q&feature=youtu.be