
Budimas Sediakan 1.1 Juta Sarapan Pagi Percuma untuk Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik pada Tahun 2025
KUALA LUMPUR – Yayasan Amalan Budimas atau The Budimas Charitable Foundation sekali lagi menganjurkan majlis makan malam tahunan Night of a Thousand Blessings edisi ke-7 bagi mengumpul dana untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik serta kanak-kanak Orang Asli di seluruh negara. Majlis yang diadakan di W Hotel Kuala Lumpur itu berjaya menghimpunkan lebih daripada 400 tetamu korporat dan meraih sumbangan sebanyak RM687,833, memperkukuh usaha Budimas dalam menyediakan sokongan kepada kanak-kanak memerlukan di Malaysia.
Pada tahun ini, Budimas mencatat pencapaian besar apabila berjaya menyediakan lebih 1.1 juta sajian sarapan pagi percuma kepada murid sekolah rendah melalui inisiatif Budimas Food Charity Fund (BFCF). Program ini terus menjadi tonggak penting dalam menangani masalah kekurangan makanan, sekali gus membantu meningkatkan tumpuan dan prestasi pembelajaran murid dengan memastikan mereka memulakan hari persekolahan dalam keadaan kenyang dan bersedia.
“Bagaimana kanak-kanak dibantu adalah tenaga penggerak di sebalik bantuan Budimas. Ia menjadi pemacu misi kami dan menguatkan lagi semangat perjuangan kami,” kata Y.M. Tunku Dato’ Yaacob Khyra, Pengerusi The Budimas Charitable Foundation.

Majlis tahun ini turut mendapat sokongan pelbagai rakan korporat dan organisasi antaranya EQT Group, Hasani Group, Farm Fresh Berhad, Gleneagles Kuala Lumpur, Omniraise Sdn. Bhd., Maedarce Charitable Foundation, MAA Group, United U-Li Corporation Berhad, Unitrade Industries Berhad, St. John’s International School, Management & Science University (MSU), Edumaxx Education Group, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Kemajuan Amoy Hydro Sdn. Bhd., SG Global, Salesworks Group, Othman Hashim & Co., Universiti Geomatik Malaysia, Kenanga Investors Group, Kumpulan Sentiasa Cemerlang (KSC), dan MI-Steel Sdn. Bhd.
Program Teras Budimas
Budimas Home Charity Fund (BHCF)
Menyalurkan dana kepada 40 rumah kebajikan berdaftar di seluruh Malaysia dengan menyediakan persekitaran selamat kepada lebih 2,000 kanak-kanak yang tidak lagi mempunyai penjaga.
Budimas Food Charity Fund (BFCF)
Menyediakan sarapan pagi kepada lebih 6,000 murid sekolah rendah di 190 sekolah seluruh negara. Pada tahun 2025 sahaja, lebih 1.1 juta sajian telah diagihkan. Menjelang 2026, program ini disasarkan meningkat kepada 1.25 juta sajian, dengan tumpuan khusus kepada sekolah-sekolah luar bandar.
Budimas Education Charity Fund (BECF)
Sejak 2015, Budimas menubuhkan 12 perpustakaan di kampung-kampung Orang Asli, dilengkapi pelbagai buku dan sumber digital untuk kegunaan kanak-kanak.
Budimas Children Medical Care Fund (BCMCF)
Menaja pembedahan dan rawatan perubatan bagi kanak-kanak sakit yang memerlukan bantuan, dengan kerjasama hospital seperti Gleneagles Kuala Lumpur dan rakan perubatan lain.
Inisiatif-Inisiatif Baharu Tahun 2025
Project Impianmu
Program pendidikan yang menawarkan biasiswa universiti kepada belia Orang Asli cemerlang dalam SPM tetapi tidak berpeluang melanjutkan pengajian tinggi akibat kekangan kewangan.
Project Melur
Inisiatif pendidikan kesihatan khusus untuk remaja perempuan. Setakat ini, program ini telah memberi manfaat kepada lebih 500 kanak-kanak perempuan dari 25 rumah kebajikan, merangkumi modul kesedaran tubuh badan dan keselamatan diri.

Mengenai Budimas
The Budimas Charitable Foundation, atau Yayasan Kebajikan Budimas, ialah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah 1952. Misi utama Budimas adalah menyediakan bimbingan serta pembiayaan dalam menyokong kebajikan dan kesejahteraan anak yatim serta kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.
Empat program teras utama yayasan ini ialah:
Budimas Home Charity Fund (BHCF)
Budimas Food Charity Fund (BFCF)
Budimas Education Charity Fund (BECF)
Budimas Children Medical Care Fund (BCMCF)
Program-program ini memberi tumpuan kepada keperluan asas kanak-kanak seperti makanan, pendidikan, perlindungan dan kesihatan.