KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kestabilan negara bergantung kepada perpaduan rakyat serta kesediaan bergerak bersama demi masa depan Malaysia yang lebih makmur dan berdaya tahan menghadapi cabaran semasa dan global.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di facebook ketika melawat Sabah, yang memberi peluang untuk berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pimpinan tempatan, penjawat awam, peniaga kecil, dan golongan muda – yang dilihat sebagai harapan masa depan negeri dan negara.
“Sabah mengingatkan kita bahawa kekuatan Malaysia bukan hanya pada hasil bumi, tetapi juga pada keharmonian rakyat yang hidup dalam semangat muafakat dan saling menghormati, selain komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) demi kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.



Semasa lawatan tersebut, Perdana Menteri menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026, Mini Konvensyen Keadilan, serta Mesyuarat Agung Tahunan Cabang peringkat negeri Sabah.
Beliau juga mengadakan tinjauan mesra di Bazar Ramadan University Apartment, Sepanggar, sebelum mengakhiri lawatan dengan menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama rakyat Sabah.