Kuala Lumpur – Raja pop, Jamal Abdillah kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang selepas disahkan menghidap hernia (angin pasang).

Menurut laporan mStar, penyanyi berusia 67 tahun itu telah menjalani pembedahan sekitar jam 11 pagi pada Khamis dan prosedur tersebut mengambil masa kira-kira dua jam.

Isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, memaklumkan pembedahan berjalan lancar dan keadaan suaminya kini stabil serta sudah boleh bergerak.

Beliau juga berkata beberapa persembahan yang dijadualkan pada 1 Syawal dan hari berikutnya terpaksa dibatalkan atas faktor kesihatan, namun pihak penganjur memahami situasi tersebut.

Masalah hernia itu dikesan beberapa minggu lalu selepas Jamal mula berasa sakit, sebelum disahkan oleh pakar dan menjalani rawatan segera.

Selepas keluar hospital, mereka merancang untuk beraya di Kulim, Kedah bersama keluarga.

Namun, semuanya bergantung kepada keadaan kesihatannya sama ada mampu untuk perjalanan jauh. Beliau dijangka akan kembali aktif memenuhi undangan pentas pada awal bulan depan.