KUALA LUMPUR – Pengerusi NGO Bidadari Malaysia, Napsiah Khamis Maharan, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq serta berharap mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan yang amat dirasai itu.
Allahyarham dilaporkan koma selepas dipercayai dipukul dalam satu kejadian di Kem Batalion 25 RAMD di Bentong pada 30 Mac lalu. Selepas beberapa hari menerima rawatan, beliau disahkan meninggal dunia pada Ahad.
Menurut Napsiah, insiden tersebut wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak memandangkan kesannya yang besar kepada keluarga mangsa dan masyarakat umum.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar satu siasatan yang telus, menyeluruh dan adil dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Katanya, sebarang unsur kecuaian atau salah laku, sekiranya terbukti, perlu dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan menjaga kebajikan anggota keselamatan, termasuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.
Beliau menambah, rakyat negara ini akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan berharap keadilan dapat ditegakkan demi semua pihak yang terlibat. -KL Broadcast