KUALA LUMPUR – Tiada pihak dalam pengurusan tertinggi Prasarana Malaysia Berhad akan terlepas daripada tindakan susulan insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin, pagi tadi.
Itu tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dalam satu kenyataan berkata bahawa tindakan tegas termasuk pemecatan perlu dipertimbangkan terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan aspek keselamatan operasi rel awam.
“Insiden itu tidak boleh dianggap sebagai gangguan operasi biasa kerana ia membabitkan risiko keselamatan tinggi kepada penumpang dan petugas.
“Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan Prasarana tidak boleh meneruskan sikap ‘business-as-usual’.
“Tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan terkecuali daripada akauntabiliti dalam insiden ini,” menurut kenyataan itu.
Loke berkata, Kementerian Pengangkutan juga turut menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling yang tergelincir pagi ini.
Dapatan siasatan pasukan itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan dihebahkan secepat mungkin.
Rapid Rail mengesahkan insiden itu berlaku akibat kerosakan pada suis landasan sehingga menyebabkan tren terbabit tidak dapat bergerak dan menjejaskan jadual perjalanan Laluan Ampang/Sri Petaling.
“Ketika kejadian, seramai 25 penumpang berada di dalam tren tersebut dan kesemua mereka berjaya dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi standard tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.