TAPAH – Rakaman kamera pemantauan hidupan liar di Gunung Batu Putih mengesahkan pendaki yang hilang, Jaslinda Saludin, melalui laluan menuju Kem Sukaneka pada 24 Mei lalu.

Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, maklumat itu diperoleh selepas penelitian terhadap dua kad memori yang diambil daripada kamera pemantauan di kawasan gunung berkenaan.

Rakaman Kamera Satu menunjukkan Jaslinda melintasi lokasi itu pada jam 11.22 pagi, 24 Mei 2026. Namun, tiada sebarang imej menunjukkan mangsa berpatah balik melalui laluan sama selepas itu.

Sementara itu, Kamera Dua tidak merakam sebarang pergerakan mangsa atau pasukan penyelamat di laluan menuju Gunung Batu Bujang, sekali gus mengesahkan laluan tersebut tidak digunakan.

Menurut Sayani, terdapat dua simpang selepas lokasi Kamera Satu iaitu ke Kem Sukaneka dan ke water point. Laluan ke water point telah dihalang dengan kayu kerana bukan sebahagian daripada trek pendakian utama.

Jaslinda dilaporkan hilang sejak 24 Mei 2026 ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih, Tapah. Pada awal pendakian, beliau sempat berhenti di Kem Batu Core untuk menemani seorang peserta lelaki yang mengalami masalah kesihatan sebelum meneruskan perjalanan ke puncak secara bersendirian.