KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menjelaskan beliau memahami punca wujudnya petisyen “Remove Rohingya from Malaysia”
Beliau bagaimanapun menegaskan isu berkaitan lambakan pelarian etnik Rohingya di negara ini bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani kerana mereka tidak boleh dihantar pulang ke negara asal.
Memetik laporan portal Mynewshub, Helmy berkata cadangan itu bukan bertujuan menafikan aspek kemanusiaan, sebaliknya bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan penduduk tempatan terus terpelihara.“Saya setuju. Saya faham orang marah dan mahu mereka pulang. Tapi soalannya sekarang, nak pulangkan ke mana?
“Akan datanglah nanti manusia-manusia yang atas dasar hak asasi manusia yang mereka sendiri pun ‘tak nak simpan’ Rohingya sebelah rumah dia,” katanya.
Menurut beliau, masalah yang timbul bukan sahaja berpunca daripada pelarian itu sendiri, malah melibatkan pihak tempatan yang membantu mereka melanggar peraturan.
“Mereka ada masalah juga sebenarnya. Kita pula yang bersengkongkol dengan mereka dengan meminjamkan nama untuk beli motosikal, beli kereta,” katanya.
Terdahulu, Mohd Noor Helmy berkata, kerajaan perlu mencari pendekatan baharu bagi menangani isu tersebut.
“Jadi, kita perlu kembali kepada satu keputusan dan satu kaedah baharu untuk bagaimana kita boleh menggajikan mereka serta memastikan mereka tertakluk kepada undang-undang,” katanya.
Sebuah petisyen dalam talian bertajuk “Remove Rohingya from Malaysia” yang dilancarkan pada 29 Mei lalu telah menerima sebanyak 363,424 tandatangan daripada orang ramai yang menyokong gesaan tersebut.
Menurut penerangan yang disertakan dalam petisyen itu, penganjurnya mendakwa Malaysia berdepan pelbagai cabaran susulan peningkatan jumlah pelarian Rohingya yang memasuki negara ini.
Mereka mendakwa kemasukan pelarian itu memberi tekanan kepada sumber negara, infrastruktur dan perkhidmatan sosial, selain mewujudkan persaingan untuk mendapatkan kemudahan serta bantuan yang terhad.
Petisyen itu turut mendakwa terdapat kesan ekonomi yang perlu diberi perhatian memandangkan Malaysia sedang berusaha memperkukuh ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Beliau turut mendakwa terdapat laporan mengenai kanak-kanak membuang air di kawasan terbuka, insiden membaling batu ke arah kenderaan serta ugutan terhadap penduduk yang menegur mereka.
“Jika tidak boleh dihantar ke negara ketiga dan mahu terus berada di Malaysia, maka asingkan mereka. Biarkan mereka tinggal dalam kelompok mereka sendiri,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan kerajaan perlu mempunyai dasar yang lebih jelas berhubung status dan pengurusan etnik Rohingya di negara ini.
Menurutnya lagi, sekiranya mereka dibenarkan bekerja secara sah, proses pendaftaran serta pemantauan perlu dilaksanakan seperti pekerja asing lain supaya terdapat pihak yang boleh dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku sebarang masalah.
Kenyataan tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Ada yang bersetuju atas faktor keselamatan dan ketenteraman penduduk tempatan, manakala ada juga yang berpendapat aspek kemanusiaan perlu terus diberi perhatian dalam mencari penyelesaian jangka panjang.
Isu Rohingya sememangnya antara topik yang sering menimbulkan perdebatan kerana melibatkan keseimbangan antara faktor kemanusiaan, keselamatan, ekonomi dan kepentingan rakyat tempatan.