HULU LANGAT – Proses perobohan struktur bangunan di penempatan Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat bermula hari ini dan dilaksanakan oleh pemilik tanah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berkata, kerja-kerja perobohan dimulakan di bahagian belakang bangunan sebelum diteruskan ke struktur lain secara berperingkat.
Menurut beliau, proses tersebut kini sedang berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan oleh pemilik tanah.
Seorang bekas penghuni yang ditemui memaklumkan, kerja perobohan bermula sekitar jam 9 pagi dengan menggunakan jengkaut dan melibatkan beberapa struktur yang telah dikosongkan sebelum ini.
Kerja-kerja perobohan giat dijalankan di bahagian belakang bangunan empat tingkat yang sebelum ini didiami warga asing.
Keadaan kawasan tersebut juga dilaporkan lengang selepas bangunan berkenaan dikosongkan sepenuhnya sebagai persediaan untuk proses perobohan.
Sebelum ini, penempatan berkenaan menjadi perhatian ramai susulan dakwaan ia dihuni oleh sejumlah besar warga asing serta dibina tanpa kelulusan di atas tanah persendirian dan sebahagian kawasan rizab kerajaan.