KUALA LUMPUR – Pada usia 73 tahun, pelakon veteran Datuk Fauziah Nawi membuktikan semangat menuntut ilmu tidak pernah mengenal batas apabila memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang Seni Teater di Universiti Sains Malaysia (USM).

Menerusi perkongsian di Threads, Fauziah memuat naik gambar bersama kad pelajarnya, sekali gus meraih perhatian dan pujian ramai yang kagum dengan kesungguhannya kembali ke bangku pengajian.

Menurutnya, langkah tersebut bukan sekadar untuk memenuhi minat peribadi, tetapi sebagai penghormatan kepada arwah bapanya yang sentiasa menekankan kepentingan pendidikan dalam kehidupan.

Dalam masa sama, Fauziah turut menjawab persoalan netizen mengenai kemungkinan beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD). Namun, beliau menegaskan fokus utamanya ketika ini adalah menamatkan pengajian sarjana terlebih dahulu.

“Selesaikan Master dulu,” katanya ringkas.

Perkongsian itu terus menerima respons positif daripada warga maya yang menganggap Fauziah sebagai inspirasi, terutama kepada generasi muda, untuk terus menimba ilmu tanpa mengira usia. -KL Broadcast