KUALA LIPIS – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menegaskan bahawa nilai belas kasihan dan sifat kemanusiaan yang menjadi amalan rakyat negara ini tidak wajar dijadikan alasan sehingga menjejaskan kedaulatan negara atau membolehkan mana-mana pihak melangkaui batas undang-undang.
Baginda bertitah, sejak kebelakangan ini timbul kegusaran dalam kalangan rakyat apabila terdapat segelintir pihak yang pada asalnya diterima atas dasar kemanusiaan, namun kini dilihat semakin berani mengemukakan pelbagai tuntutan yang dianggap tidak selaras dengan kedudukan mereka di negara ini.
Menurut baginda, dalam tradisi masyarakat Melayu serta ajaran Islam, tetamu sentiasa dihormati dan dimuliakan. Namun pada masa yang sama, setiap tetamu perlu memahami adab, menghormati peraturan negara dan sedar akan batas serta kedudukan masing-masing.
“Rakyat kini semakin resah apabila ada pihak tertentu yang pada awalnya diterima atas dasar ihsan, tetapi kemudian mula membuat tuntutan yang tidak sepadan dengan status mereka di sini.
“Dalam adat Melayu dan tuntutan Islam, tetamu memang dimuliakan. Tetapi tetamu yang beradab akan tahu menghargai kebaikan tuan rumah, mematuhi undang-undang dan memahami had dirinya.
“Jangan sampai perahu yang ditumpang mahu menentukan arah nakhoda. Jangan pula kerana terlalu berlembut, tuan rumah sendiri akhirnya dipersoalkan haknya di bumi sendiri,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi yang berlangsung di Laman Sejahtera Jelai, Felda Sungai Koyan, hari ini.
Baginda turut menambah bahawa pengajaran daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW menunjukkan pembinaan masyarakat tidak boleh hanya bergantung pada belas ihsan semata-mata, sebaliknya mesti disokong oleh keadilan, kedaulatan serta kekuatan undang-undang.