KUALA LUMPUR – Kerjasama kesihatan antara Malaysia dan Indonesia terus diperkukuh menerusi pertemuan dua hala sempena Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN Ke-17.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pertemuan bersama delegasi Republik Indonesia itu membincangkan pelbagai aspek kerjasama strategik kesihatan antara kedua-dua negara serumpun.

Menurutnya, antara perkara yang diberi perhatian ialah usaha memperluas pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kesihatan yang dimeterai di Jakarta pada 29 Julai 2025.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kepercayaan berterusan Indonesia dan masyarakat antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai antara destinasi utama pelancongan kesihatan.

Katanya, sektor berkenaan merekodkan penjanaan hasil melebihi RM2.2 bilion menerusi 968,706 lawatan sepanjang 2025.

“Dalam pertemuan itu, kami turut bertukar pandangan mengenai peluang untuk memperkukuh kerjasama dalam beberapa bidang baharu seperti kesihatan digital, perubatan tradisional dan komplementari (PT&K), penuaan sihat serta kesihatan persekitaran.

“Kerjasama ini penting bagi mendepani cabaran kesihatan rentas sempadan, termasuk ancaman zoonotik dan denggi,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan strategik dan proaktif bagi memperkukuh daya tahan sistem kesihatan negara.

Jelasnya, kerjasama dua hala di peringkat serantau mampu menyokong kelestarian dan kesinambungan sistem kesihatan, selain memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan awam terus dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading