BUTTERWORTH – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dikesan memandu sebuah kereta sebelum terlibat dalam kemalangan di dua lokasi berasingan di sekitar Taman Chai Leng, Perai, petang semalam.
Kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu bermula apabila kenderaan dipandu remaja terbabit merempuh sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan di Lorong Kurau 23.
Remaja itu kemudian meneruskan perjalanan sebelum dipercayai memasuki laluan sehala secara melawan arus di Lebuh Kurau 5 dan melanggar sebuah lagi kenderaan yang sedang bergerak mengikut laluan betul.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8.47 malam.
Menurutnya, polis turut mengesan rakaman video kejadian yang tular di media sosial.
Beliau berkata, kemalangan berkenaan menyebabkan kerosakan pada ketiga-tiga kenderaan, namun tiada individu dilaporkan mengalami kecederaan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.
Siasatan lanjut masih dijalankan.


Leave a Reply