KOTA BHARU – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan bersedia mengambil langkah awal, termasuk menempatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah yang kurang berisiko sekiranya banjir berlaku lebih awal tahun ini susulan keadaan cuaca tidak menentu.
Pengarah JPN Kelantan Siti Norina Muhamad berkata kejadian banjir kilat di Gua Musang baru-baru ini turut mendapat perhatian pihaknya dan kemungkinan bencana berlaku lebih awal perlu diambil kira bagi memastikan calon tidak berdepan masalah untuk menduduki peperiksaan.
“Setiap tahun, kami membuat persediaan awal, terutama membabitkan calon SPM kerana kami tidak mahu mereka berdepan kesukaran untuk hadir menduduki peperiksaan sekiranya kawasan tempat tinggal atau sekolah mereka dilanda banjir.
“Seperti tahun sebelum ini, kami telah menempatkan calon lebih awal di sekolah yang kurang berisiko, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah dan SMKA Lati,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Perak dan Gangsa Peringkat Negeri Kelantan 2026 di Dewan Wawasan, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan di sini hari ini.
Siti Norina berkata langkah berkenaan akan dilaksanakan tahun ini sekiranya perlu, khususnya membabitkan calon yang tinggal atau bersekolah di kawasan berisiko, bagi mengelakkan mereka terkandas akibat jalan terputus atau dinaiki air.
Beliau berkata JPN Kelantan juga telah mengadakan mesyuarat berkaitan pengurusan bencana dan sentiasa bersedia mengambil tindakan mengikut keadaan semasa.
“Kami berada dalam keadaan bersedia untuk bertindak pada bila-bila masa mengikut situasi semasa,” katanya.
Sementara itu, Siti Norina berkata JPN Kelantan memberikan perhatian serius terhadap isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar dan menyahut seruan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat supaya usaha membanteras gejala itu diperkukuh di sekolah.
Beliau berkata kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia di peringkat negeri dan kebangsaan terus dilaksanakan, termasuk mengenal pasti pelajar yang menunjukkan tanda awal penyalahgunaan bahan terlarang, terutama mengambil kira kedudukan Kelantan sebagai negeri bersempadan.
“Kita tidak boleh memandang ringan perkara ini kerana ia memerlukan penglibatan semua pihak dan bukan hanya diletakkan di bahu sekolah,” katanya.
— BERNAMA


Leave a Reply