TANJONG MALIM – Tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti Perikatan Nasional (PN) bukan dilakukan dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan aduan yang diterima.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menjadi tanggungjawab RoS menjaga kepentingan anggota mana-mana pertubuhan yang berdaftar dengan pertubuhan tersebut di bawah Akta Pertubuhan 1966.

“Tentunya ada beberapa kepincangan yang telah berlaku dalam Perikatan Nasional yang menyebabkan penggantungan ini dibuat oleh RoS.

“Dalam konteks ini, tentunya ada rungutan ataupun aduan yang dihantar oleh sebuah daripada parti gabungan itu menyebabkan penggantungan telah dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sidang pertama Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah Tahun 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini hari ini.

Ahmad Zahid berharap tindakan penggantungan itu dihadapi dengan tenang oleh PN dan parti yang berada di bawah gabungan itu sementelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjelang.

Beliau berkata, PN pasti mempunyai perancangan sendiri jika penggantungan tersebut berterusan.

“Tentunya parti-parti gabungan itu akan menggunakan lambang parti masing-masing untuk masuk ke gelanggang pilihan raya negeri Melaka atau pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Terdahulu, RoS mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa pada 23 Sept lepas.

Menurut RoS, tindakan itu diambil di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 susulan notis yang dikeluarkan kepada PN pada 22 Sept 2026.


–BERNAMA

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading