IPOH – Seorang pekerja kedai mencuci kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis trafik dalam kejadian yang tular di media sosial minggu lalu.

Memetik laporan BH Online, K Viknes, 29, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa cuba membunuh Lans Koperal Badrul Izwany Pauzi dengan memandu sebuah Honda Civic berwarna putih sebelum merempuh anggota polis berkenaan.

Kejadian didakwa berlaku di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh, kira-kira pukul 11 pagi pada 24 September 2026.

Viknes didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, M. Raveenaa memohon jaminan sebanyak RM100,000 terhadap tertuduh, selain syarat supaya dia melapor diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai, tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Menurut Raveenaa, mangsa yang berpangkat Lans Koperal merupakan penjawat awam dan ketika kejadian sedang menjalankan tugas di sekatan jalan raya sebelum dilanggar dan dirempuh oleh tertuduh.

Beliau berkata, faktor tersebut wajar dipertimbangkan mahkamah sebagai alasan untuk menetapkan jumlah jaminan yang tinggi.

Bagaimanapun, peguam bela Jagdave Singh memohon supaya jaminan ditetapkan pada kadar lebih rendah iaitu RM10,000 dengan mengambil kira latar belakang serta kemampuan kewangan anak guamnya.

Menurutnya, tertuduh yang masih belum berkahwin itu bekerja di sebuah kedai mencuci kenderaan dengan pendapatan sekitar RM50 sehari.

“Tertuduh juga menanggung ibu bapanya selain dua adik yang masing-masing sedang belajar di Tingkatan Dua dan Tahun Enam.

“Pihak pembelaan bersetuju dengan semua syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan dan memohon jaminan RM10,000, mengambil kira tertuduh turut mempunyai pertuduhan lain di Mahkamah Trafik,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 26 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam perkembangan berkaitan, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret atas lapan pertuduhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Antara pertuduhan itu termasuk memandu di bawah pengaruh dadah, memandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya serta gagal mematuhi isyarat atau arahan untuk berhenti.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading