SEPANG – Pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengambil perhatian serius terhadap masalah pengangkutan yang dihadapi sebahagian peminat ketika menghadiri Grand Prix (GP) Bahrain di litar berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, SIC memaklumkan pihaknya sedang mengambil langkah bersama rakan pengangkutan dan agensi berkaitan bagi memperkemas pergerakan trafik serta pengurusan pengunjung.
SIC berkata, pengalaman dan keselamatan peminat kekal menjadi keutamaan, terutama ketika waktu puncak apabila penonton meninggalkan litar.
“Kami menyedari cabaran yang dihadapi sesetengah peminat ketika datang dan pulang dari litar, khususnya pada sebelah petang.
“Usaha sedang dilakukan bersama rakan pengangkutan dan pihak berkaitan untuk memperbaiki aliran trafik, perkhidmatan bas perantara serta kawalan pergerakan pengunjung,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, video yang tular di media sosial menunjukkan sebahagian peminat terpaksa berjalan kaki lebih lapan kilometer bagi menuju ke kawasan parkir selepas menyaksikan perlumbaan.
Dalam pada itu, SIC menasihatkan peminat supaya membuat perancangan perjalanan lebih awal dan mengikuti perkembangan terkini menerusi saluran media rasmi litar.
Peminat juga diminta mematuhi arahan petugas serta pihak berkuasa ketika memasuki atau meninggalkan kawasan litar kerana pengurusan trafik boleh berubah mengikut keadaan semasa.


Leave a Reply