KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menziarahi pusara Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta menitipkan doa buat tokoh wanita yang meninggal dunia pada 28 September lalu.
Abdul Hadi menerusi perkongsian di media sosial mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, segala dosa diampunkan dan amal kebajikannya diterima Allah SWT.
Beliau turut mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan kedudukan yang mulia di sisi-Nya.
Dalam kunjungan tersebut, Abdul Hadi turut dilihat mengimamkan solat jenazah ketika menziarahi pusara Allahyarhamah.
Tun Dr Siti Hasmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi, 28 September lalu pada usia 100 tahun.
Jenazah Allahyarhamah kemudian disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari yang sama menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Allahyarhamah dikenang atas sumbangan besar dalam bidang perubatan, kesihatan awam dan kebajikan masyarakat sepanjang hayatnya.


Leave a Reply