KOTA BHARU – Guru wanita berusia 57 tahun yang terlibat dalam insiden merempuh dua pelajar Tingkatan Satu sehingga mengakibatkan seorang daripada mereka maut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, April lalu, tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu pagi ini.

Guru berkenaan dilaporkan tiba kira-kira jam 8.35 pagi dengan diiringi pegawai dan anggota polis bagi menghadapi proses pendakwaan.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini mengesahkan guru terbabit akan berdepan dua pertuduhan berkaitan.

Pertuduhan pertama dijangka dibuat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian, manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 336 kanun sama berhubung perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Insiden itu berlaku pada 12 April lalu di hadapan surau SMK Tanjong Mas apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipercayai terbabas sebelum merempuh dua pelajar perempuan.

Kejadian tersebut mengorbankan Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, di lokasi kejadian, manakala seorang lagi pelajar dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Siasatan awal polis sebelum ini mendapati pemandu kenderaan berkenaan dipercayai tersalah menekan pedal minyak sebelum kenderaan itu terbabas dan melanggar kedua-dua pelajar terbabit.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading