KUALA LUMPUR – Pelakon Indonesia, Baim Wong menyatakan persetujuan terhadap pandangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menggesa tindakan lebih berkesan bagi menangani masalah kebakaran hutan di Indonesia sehingga menyebabkan jerebu merentasi sempadan negara.
Baim menerusi komen di media sosial berpandangan, usaha menangani isu tersebut perlu dilaksanakan secara bersama dengan penglibatan pihak berkaitan.
Beliau turut mencadangkan penghantaran delegasi ke Kalimantan bagi memastikan tindakan memadamkan kebakaran dilakukan sehingga masalah berkenaan dapat diselesaikan.
Menurutnya, kegagalan menangani krisis itu berpotensi membawa kerugian kepada Indonesia, selain menjejaskan reputasi negara berkenaan di mata masyarakat antarabangsa.
Sebelum ini, Syed Saddiq menyarankan tindakan lebih tegas dikenakan terhadap syarikat yang terbukti terbabit dalam pembakaran hutan, termasuk meneliti kemungkinan mengehadkan akses mereka kepada pembiayaan dan pinjaman institusi kewangan.
Beliau menegaskan, isu jerebu memerlukan tindakan nyata dan berterusan, bukan sekadar perbincangan, bagi mengelakkan krisis sama terus berulang.


Leave a Reply