MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memberi petunjuk bahawa beliau berkemungkinan tidak lagi bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Menerusi hantaran di Facebook pada Rabu, beliau merakamkan penghargaan kepada penduduk Merlimau sambil membuka ruang mengenai kemungkinan berpindah ke kawasan pilihan raya lain.
Beliau turut menyebut Serkam dan Sungai Rambai sebagai antara pilihan yang mungkin dipertimbangkan, selain meminta pandangan orang ramai mengenai kawasan yang sesuai untuk ditandingi.
Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna media sosial, dengan ramai memberikan reaksi positif terhadap kemungkinan beliau beralih ke kawasan baharu.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, antara yang memberikan komen dengan menyatakan kesediaan untuk membantu beliau.
Seorang pengguna media sosial pula berpendapat lokasi pertandingan bukan perkara utama, sebaliknya keupayaan beliau untuk terus mendekati masyarakat dan membantu menyelesaikan masalah penduduk lebih penting.
Terdapat juga netizen yang menyarankan supaya beliau mempertimbangkan untuk bertanding di peringkat Parlimen.
Pada PRN Melaka 2021, Muhamad Akmal memenangi kerusi DUN Merlimau dengan memperoleh 5,633 undi.
Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Azrin Ab Majid yang mendapat 2,385 undi, serta calon Perikatan Nasional (PN), Abd Alim Shapie dengan 1,622 undi.
Kemenangan tersebut memberikan beliau majoriti sebanyak 3,248 undi.


Leave a Reply