KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang mencetuskan jerebu rentas sempadan sehingga menjejaskan kehidupan rakyat Malaysia.
Menerusi kenyataan di media sosial, Anwar berkata, perkembangan kebakaran berkenaan terus dipantau susulan kesannya terhadap kesihatan orang ramai serta penutupan sekolah di beberapa negeri dan kawasan di Malaysia.
Beliau turut mengakui usaha pemerintah Indonesia yang mengerahkan puluhan ribu anggota bersama pelbagai aset udara bagi mengawal kebakaran yang semakin membimbangkan itu.
Menurutnya, usaha memadam kebakaran bukan perkara mudah, terutama apabila melibatkan kawasan yang luas serta keadaan cuaca yang sukar diramal.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan cabaran jerebu rentas sempadan perlu ditangani menerusi komitmen dan tanggungjawab bersama antara negara serantau.
Katanya, Malaysia sebelum ini turut mengemukakan cadangan mekanisme kerjasama di peringkat ASEAN bagi memperkukuh penyelarasan, kesiapsiagaan dan tindakan bersama dalam menangani masalah berkenaan.
Anwar berkata, Malaysia kekal bersedia memberikan bantuan seperti yang telah ditawarkan sebelum ini, selaras dengan semangat kejiranan dan hubungan erat antara kedua-dua negara.
Beliau menegaskan aspek keselamatan serta kesejahteraan rakyat di rantau ini perlu terus menjadi keutamaan ketika berdepan bencana rentas sempadan.


Leave a Reply