KUALA LUMPUR – Syarikat Bhuiyen Sdn Bhd mengambil tindakan undang-undang terhadap Ustaz Sophian dan Persatuan Kebajikan SurPlus susulan penyebaran video berkaitan isu penyembelihan ayam yang mencetuskan perhatian ramai.
Memetik laporan Kosmo, Pemilik syarikat itu, Zalinda Yacob, 49, menegaskan premis yang dipaparkan dalam video berkenaan bukan milik syarikatnya, sebaliknya Bhuiyen hanya membekalkan ayam hidup kepada pihak terbabit.
Menurutnya, syarikat itu tidak terlibat dalam urusan penyembelihan yang dipaparkan dan pekerjanya juga tidak menjalankan aktiviti berkenaan.
Beliau mendakwa Ustaz Sophian mengaitkan premis tersebut dengan Bhuiyen, sekali gus mendorongnya mengambil tindakan tegas terhadap individu dan persatuan berkenaan.
Zalinda turut menafikan dakwaan bahawa syarikatnya menggaji pekerja asing tanpa permit sah. Beliau berkata, pihak Jabatan Imigresen Malaysia dialu-alukan untuk memeriksa dokumen pekerjanya bagi mengesahkan status pekerjaan mereka.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Bhuiyen mempunyai lesen perniagaan serta sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sah, selain permit berkaitan daripada Jabatan Alam Sekitar dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau juga menolak dakwaan bahawa syarikat berkenaan membekalkan bangkai ayam.
Selain Ustaz Sophian dan Persatuan Kebajikan SurPlus, Zalinda berkata tindakan saman fitnah turut diambil terhadap pempengaruh Zarif Syarafuddin dan Abeobe yang didakwa menyebarkan tuduhan sama.
Zalinda hadir ke Balai Polis Dang Wangi semalam bersama peguamnya, Muhammad Ikmal Ibrahim daripada firma guaman Messrs Zulkifli Yong Azmi & Associates Advocates & Solicitors, bagi membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, penyebaran dakwaan berkenaan bukan sahaja menjejaskan nama baik serta operasi perniagaannya, malah memberi tekanan emosi kepada dirinya dan keluarga susulan kecaman orang ramai.
Terdahulu, sebuah video tular memaparkan proses penyembelihan ayam yang dipersoalkan, dengan dakwaan aktiviti itu dilakukan warga asing tanpa permit sah. Dakwaan berkenaan mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.


Leave a Reply