KUALA LUMPUR – Penganjur konsert 3DIVA Timeless Live in Kuala Lumpur mengesahkan pembatalan persembahan yang dijadualkan pada 22 November depan di Unifi Arena susulan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
T-Rex Studio Sdn. Bhd. dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pemegang tiket akan menerima bayaran balik melalui saluran pembelian asal masing-masing.
Tempoh pemulangan wang dianggarkan mengambil masa 14 hari bekerja, manakala pembeli diminta mendapatkan maklumat lanjut daripada platform tiket yang digunakan.
Pembatalan itu sekali gus menjejaskan perancangan untuk menyaksikan persembahan tiga penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ, yang dijadualkan berkongsi pentas dalam sebuah konsert khas meraikan legasi muzik mereka.
Penganjur mengakui keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah, memandangkan persiapan telah dilakukan bagi memastikan acara berkenaan dapat berlangsung dengan lancar.
T-Rex Studio turut memohon maaf kepada peminat, pemegang tiket, penaja, rakan media dan semua pihak yang terlibat atas kesulitan yang timbul berikutan pembatalan itu.
Pihaknya juga memahami bahawa pengumuman berkenaan memberi kesan kepada individu yang telah membuat persiapan untuk menghadiri persembahan tersebut.
Dalam kenyataan sama, penganjur menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang perancangan konsert berkenaan.
Sebarang pengumuman lanjut akan disampaikan menerusi saluran rasmi T-Rex Studio.


Leave a Reply