MELAKA – Pakatan Harapan (PH) menyasarkan perubahan pentadbiran di Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 dengan menyeru pengundi memberikan kepercayaan kepada gabungan itu untuk menerajui negeri berkenaan.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, gabungan itu menawarkan pengalaman dan rekod pentadbiran sebagai asas untuk meyakinkan rakyat bahawa perubahan di Melaka mampu direalisasikan.
Menurut Menteri Besar Selangor itu, tanggapan bahawa Melaka akan terus menjadi kubu kuat UMNO tidak seharusnya dijadikan penghalang kerana keputusan pilihan raya lalu menunjukkan sokongan pengundi boleh berubah.
Beliau menyuarakan keyakinan itu ketika berucap pada majlis pengumuman calon dan pelancaran jentera pilihan raya PH bagi PRN Melaka ke-16 di pekarangan Stadium Hang Jebat, pada Sabtu.
Amirudin berkata, PH turut mahu membangunkan Melaka sebagai negeri yang terbuka dan menjadi milik bersama semua rakyat tanpa mengira latar belakang.
Katanya, pembangunan negeri perlu dilaksanakan secara seimbang supaya pertumbuhan sektor pelancongan dan pelaburan turut memberikan manfaat kepada penduduk tempatan.
Beliau menegaskan bahawa golongan yang berdepan kesukaran perlu dibantu, manakala mereka yang ingin melanjutkan pelajaran wajar diberikan sokongan bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan.


Leave a Reply