KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menyiasat dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang pengetua sekolah menengah kerajaan di Teluk Intan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pengetua berkenaan telah ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk sehingga siasatan selesai dijalankan.
Beliau memaklumkan perkara itu menerusi ruangan komen pada hantaran berkaitan insiden berkenaan yang tular di platform Threads hari ini, menurut laporan Harian Metro.
Sebelum ini, satu hantaran di media sosial mengingatkan ibu bapa dan masyarakat di Teluk Intan supaya berwaspada susulan dakwaan salah laku membabitkan pengetua berkenaan.
Dakwaan itu termasuk gangguan seksual, penghantaran mesej berunsur romantik kepada seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga serta dakwaan mengenai hubungan sulit.
Hantaran berkenaan turut menggesa pihak berkaitan mengambil serius isu itu demi melindungi keselamatan pelajar dan memastikan setiap dakwaan disiasat tanpa diabaikan.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah video yang tular di media sosial memaparkan seorang lelaki yang dipercayai pengetua terbabit berhadapan dengan beberapa wanita yang mahu mendapatkan penjelasan daripadanya.


Leave a Reply